Bacalah Kerepek Tempe untuk hidup dengan lebih bergizi. Terkandung khasiat cerita kehidupan yang rangup dan mudah dihadam.

Mengadu Pada Gunung

Ingin sekali aku
Kembali mengadu pada gunung
Sebalik rimba berbunyi ritma
Puncaknya ku isi teriak
Biar hilang sampai pekak
Biar lari menuruni sampai berhenti
Oh sudah lama gemanya ku nanti
Aku dipeluk kabus sampai tenang
Dinginlah kini kaki berdiri
Waktu senja mentari lari.

Apabila Tetulang Osikel Aku Makin Sensitif Bergetar


Penangan Kingdom of Rebel #2 membuatkan tetulang osikel aku tak berhenti bergetar. Sekecil-kecil bunyi daun pintu tandas dibuka dan bunyi jiran sebelah berkumur-kumur pagi tadi, buat aku rasa menghargai setiap desibel bunyi di sekeliling. Baru aku tahu serba sedikit betapa indah dan cantiknya bunyi di sekeliling kita jikalau kita menghargai setiap bunyi yang dikurniakan-Nya. Ini adalah aku sebagai pengunjung pertama kali ke dalam dunia mereka.

Bukan sekadar bunyi kicauan burung, desiran angin, malah bunyi guruh, bunyi dengkuran, bunyi geseran tapak kasut dan banyak lagi bunyi yang tak dapat aku hitung, setiap daripada satunya dapat merangsang emosi, pastinya. Ertinya, bila dengar bunyi daun pintu dibuka, timbul perasaan sangsi iaitu sangsi siapa yang akan muncul, risau iaitu adakah sesuatu yang datang itu akan memomokkan kita? Wow! (jerit aku dalam hati) Kadang-kadang kita sendiri tidak perasan, bahawa bunyi sekeliling kita ini sebenarnya mempengaruhi emosi kita pada suatu masa dan ketika.

Menariknya, hasil gabungan bunyi-bunyian ini lah yang membentuk cerita atau kisah hidup kita dan juga perasaan kita setiap hari. Aku bayangkan, bunyi seperti melagukan kisah hidup kita setiap hari. Itu adalah apa yang aku dapat pada hari atau malam itu. Dalam dekat aku menghayati lagu mereka. Dalam dekat aku memahami mereka. Semoga dalam dekat ini semua bisa mendekati pencipta.

Terima kasih kepada Kamal Sabran dan Space Gambus Experiment (jikalau nasib baik terbaca entri ini) kerana sudi menjemput Tronoh Theatre Shop, dan kami, si pelakon bisu untuk menghilangkan kesan-kesan ruam dan gegata kami untuk berlakon kerana kami tak serik dengan ruam-ruam begitu, walaupun banyak sekalipun. Haha

(menamatkan entri ini sambil menghayati bunyi papan kekunci laptop ditekan-tekan)
jjhhhsndfllfo jenskjr rtu4nw93n9jfrpw03 kidkinjfu99900jjn
(sedang menaip dan cuba improvise buat muzik guna papan kekunci laptop)

Menerima Tanpa Meminta


Bulu-bulu pada sayap itu adalah sebahagian daripada aku. Untuk terbang, aku perlu kembangkan sayap. Lalu bulu-bulu itu menyisir lembut angin, membawa aku ke atas untuk kekal terbang. Sehelai bulu itu adalah seperti yang aku katakan, adalah sebahagian daripada diri aku. Setiap daripada satu adalah daya yang membawa aku terbang ke atas ruang udara yang tidak terkira luasnya, aku terkesima. Setiap pagi, dan setiap hari aku bertanyakan kepada diri sendiri. Adakah aku sudah cukup memiliki keupayaan ini? Sudah cukupkah bilangan bulu yang tumbuh pada sayapku ini? Sayap, sesuatu yang aku miliki dan ini adalah salah satu pemberian. Aku menerima tanpa meminta.

Semalam ibu telah mengajar aku untuk membersihkan diri, mengembangkan sayap tapi aku masih belum dapat apakah tujuan ibu yang sebenar. Aku penat dan tetulangku masih belum cukup kuat. Tendon dan sarafku masih muda bekerja. Ya aku masih muda untuk itu.

Melihat ibu terbang jauh membawa pulang sesuatu. Itu adalah aku setiap kala senja. Tidak pula aku mempersoalkan kerana itu adalah kebiasaan. Nikmat menjamah rezeki yang ibu bawa pulang, buat mata hatiku terpadam.

Suatu senja, sinar Matahari di Timur terpancar tepat menembak mataku. Aku terbang dengan sendirinya ke atas sana. Apakah daya yang menujah aku ke atas? Soal dalam hatiku. Ibu memandang aku seperti menunggu, termangu.


Tarikh Pemulangan


Bersama kekecewaan aku bawakan daripada dua hari yang semalam dan tahun lepas barangkali. Mungkin sebab tertentu sahabat boleh dipercayai maka aku tidak pernah berbasa-basi ambil kira apa-apa. Maka telah disajikan aku dengan beberapa bentuk permasalahan. Kisah pertama itu, adalah pinjaman kerana tanda kasih dan keprihatinan. Aku berikanlah segantang agar dia bisa menjadi apa diidamkan. Berlatar-belakangkan keupayaan itu dapatlah agar memenuhinya. Dapatlah aku tersenyum lalu membuat orang lain tersenyum. Namun aku diingatkan apabila berbuat begitu, terbalas itu bukanlah apa yang diharap segunung harga. Di dalam seluk seluar pun tiadalah apa-apa selain bisa menakung sedikit pemberian. Maka dengan itulah harus dipegang. Kekecewaan yang ku bawa itu tak usahlah. Gendang yang dipalu, gemanya itu hanya sementara, tidak kedengaran di kejauhan. Begitulah harusnya seorang manusia, memaafkan kesilapan orang lain kerana sekuat mana dipalu-palu kesalahan itu, akhirnya kemaafan juga yang dapat meredakan lalu tenang. Bertautkan kematangan akal fikiran, beradulah penyelesaian daripada beradu pertengkaran.

Pengajaran bagi kemanusiaan. Kerana hari ini telah banyak kesyahidan dan bukti kewujudan. Telah banyak juga barang pinjaman yang harus dipulangkan. Nikmat kehidupan, hikmah keislaman. Bezanya, tiadalah tarikh pemulangan yang kita sedia tahu, diberitahu. Ini lebih penting daripada pertengkaran dan marilah bermaafan.

Aku Biarkan Ranting Itu Tidak Berbunga


Kembali daun-daun sekecil ruas kelingking itu luruh
Aku biarkan ranting itu tidak berbunga
Sama ada Qada' dan Qadarnya
Biar dibaja tuk berbunga
Tidak peduli biar saja

Namun tiada ranting tiadalah bunga
Si ranting muda yang menatang bunga mekar
Debunga janganlah kau terbang sebelum sempat
Sebelum dapat ku rasa manis
Buah fikirannya.

Kisah Tentera Jepun Berbasikal


Teringat kisah di asrama dulu. Waktu umur aku masih belasan tahun dan kumis serta janggutku tidak lagi selebat setakat hari ini.

Waktu di asrama dulu, Warden Aspura (Asrama Lelaki) di sekolah aku, menggunakan taktik berbasikal untuk tidak meninggalkan sebarang kesan bunyi tapak kaki. Taktik ini sangat berkesan dilakukan pada waktu 'Light Off' atau waktu tutup lampu yang biasanya berkuatkuasa pada jam 11 malam. Jarang sekali warden asrama di sekolah-sekolah berasrama menggunakan taktik ini kerana biasanya motor adalah pilihan utama warden kerana malas tidak memerlukan tenaga yang banyak.

Namun begitu, taktik berbasikal ini sangat berkesan untuk memberikan saguhati rotan kepada pelajar-pelajar terpilih. Taktik ini dimodifikasi dengan taktik penyamaran di belakang bangunan penjana elektrik. Ketika itu bilik aku adalah markas pasukan Navigator atau pemerhati. Lengkap dengan dua mata kurniaan Illahi dan sepasang penyerap bunyi lengkap di kiri dan kanan bahagian muka. Mungkin nasib baik bagi kami yang bereempat ini kerana mendiami bilik yang serba cantik ini atau Bilik Line Clear. Maka jaranglah betis kami dijilat rotan Warden.

Bila dapat tahu Warden berbasikal menghampiri kubu kami, si polan pun menyampaikan maklumat menggunakan kod morse (ketuk dinding kuat-kuat). Kemudian berturutanlah sampai ke dinding bilik yang hujung. Ada juga yang asyik memasang 'ubat nyamuk' di tandas terus melompat masuk ke bilik entah siapa-siapa secara rawak.

Tertawa kecil aku bila Warden cuba buat serang hendap. Kami tutup mata rapat-rapat dan untuk tampak lebih realistik, kami berdengkur sedikit. Bila keadaan tenang, kubu kami semula hidup dengan masing-masing sibuk menghabiskan tugas masing-masing. Terang-benderang semula kubu kami seolah-olah ada kenduri. Ada yang sibuk menyambung cerita bodoh dan lucu tadi, ada yang menyambung menyental pakaian dan sambung pasang 'ubat nyamuk'.

Jadi begitulah sehari-hari kehidupan di sini. Tengah malam kami sangat terisi dan terpaksa menghadapi serangan tentera Jepun berbasikal. Jarang sekali malam kami sunyi.

Dalam kehidupan ini, mungkin taktik tentera Jepun ini boleh digunakan untuk memperbaiki diri sendiri maksudnya kemajuan atau perubahan. Bila hendak menyerang tabiat buruk, hendaklah berbasikal perlahan-lahan tanpa meninggalkan bunyi maksimum. Kayuhan pertama, eloklah dimulakan dengan Bismillah, kayuhan kedua disertai dengan nawaitu dan kayuhan seterusnya perlulah lurus sehingga menuju ke destinasi yang kita tujui. Destinasi yang ingin diserang.




Buang


Hendak sahaja aku buangkan kerisauan ini seperti aku buang plastik air nescafe ais tadi. Aku fikir aku perlu tamatkan dan habiskan atau lengkapkan tugas ini sehabis baik kerana esok bakal menyusul tugas yang seterusnya. Saat-saat sukar sebegini macam cabaran mendaki puncak Everest pun aku tetap harus kuatkan diri.

Seperkara yang timbul dalam perbualan dengan rakan-rakan tadi ialah bagaimana rasanya lembu dicucuk hidung dan begitulah kami di universiti ini. Disuruh itu dan ini supaya jadi begini dan begitu. Contohnya, wajib hafal fakta ini untuk mendapat 100% markah, daripada wajib memahami fakta ini untuk mendapat 100% penghayatan. Betul ke? Kalau setuju, angkat tangan macam saya (gaya pergelangan tangan berpusing-pusing) [1]

[1] Mamat Khalid, Hantu Kak Limah Balik Rumah (2010), HKLBR, Tayangan Unggul Sdn Bhd.

Baiklah aku sudah terpengaruh dengan tatacara menulis rujukan, kerana asyik menulis laporan ini. Semacam penat membuat alasan macam itu dan macam ini. Jadi apa kata pelajar sendiri (termasuk aku) mula menghargai ilmu. Macam mana? Perlukan penghayatan. Contohnya kau belajar macam mana nak berjalan dulu. Kemudian kau variasikan cara berjalan. Kau guna kebolehan berjalan untuk berlari dan seterusnya melompat. Setelah berjalan, kau boleh pula memanjat dan seterusnya sehinggalah sampai waktu nanti kau tidak lagi bisa berjalan. Macam ilmu yang dimiliki manusia iaitu terbatas dan tidak tercapai 7 lautan dakwat.

Aku cakap macam ini sebab nak memotivasikan diri sendiri dan orang lain Insya-Allah sebab memang kuat bebenor cabaran orang nak mencari ilmu sama seperti berperang. Konsepnya, jangan sampai otak-otak kita ini dimakan oleh Zombie macam orang yang masih tidak berfikiran terbuka. Seperkara lagi, jangan biarkan emosi dan ego menjadi pemandu kepada tindakan atau percakapan kita, kerana takut terbabas. Boleh tak jangan merasa diri terlalu hebat untuk dibandingkan dengan orang lain? Kerana kita semua sama daripada tanah, di mana di situ juga lah kaki kita berpijak. Bila dah bertambah umur ini, barulah aku dapat alami perkara sebegini dalam skala besar. Semoga dijauhkan.