Bacalah Kerepek Tempe untuk hidup dengan lebih bergizi. Terkandung khasiat cerita kehidupan yang rangup dan mudah dihadam.

Bunyi Cengkerik

Sudah lama benar aku tak mendengar bunyi cengkerik. Bunyi yang buat kau berasa damai dan berfikir. Dari arah jendela dapur rumah, bunyi itu menyelinap masuk menggetarkan tulang osikel, terasa jiwa seakan berdering. Aku tersedar. Agaknya sudah terlalu lama aku terperangkap di dalam hutan konkrit sehingga terlupa adanya kewujudan cengkerik selaku penggesek biola yang sering muncul dalam kelam malam. Kesibukkan mengejar ringgit dengan sambutan gaji di akhir bulan adalah suatu kebiasaan buat semua orang tidak terkecuali aku.

Aku lebih suka membelanjakan wang untuk mendapatkan pengalaman daripada membeli produk-produk ciptaan manusia yang kononnya mewah. Menjadi kebodohan apabila terpaksa membayar lebih kerana jenama walhal kualitinya cuma 20% daripada apa yang tertera pada tanda harga. Lebih teruk, terdapat beberapa promosi syaitan dengan tawaran harga potongan, walhal sama dengan harga paras normal. 

Pengalaman berjalan di dalam MRT dari Braddel ke Woodlands misalnya, sekurang-kurangnya dapat mengisi kotak-kotak kosong memori dalam otak melalui pemerhatian, gerak-geri manusia keliling dan membingkai alam dari jendela. Elemen-elemen ini seringkali membuat manusia berfikir tentang sesuatu dan akan membawa si pemikir jauh ke dalam dimensi lain. Masa akan seolah-olah terhenti. Pecutan MRT tidak terasa, malah momentumnya membawa si pemikir jauh lebih dalam atau lebih jauh ke masa hadapan. Selalunya apabila memerhati tingkah orang lain, seperti orang yang sedang tersenyum, menyisir rambut, membetulkan tali pengikat kasut, kau akan mengaitkan situasi itu dengan diri pada masa sekarang, atau pada masa akan datang. Nah, tepat pada momen itu, kau akan melakarkan beberapa layar gambaran seimbas lalu apa yang kau akan lakukan, menggambarkan perasaan dan mencari kepastian atau persoalan. Nampak tak? Apatah lagi jika kita manfaatkan masa untuk mengembara ke tempat asing, di dalam kelompok manusia yang berbeza budaya, bahasa dan rona hidup, sudah tentu kapasiti minda untuk berfikir bisa meningkat dan berkembang. 

Bezanya membeli barang dan membeli pengalaman adalah nilai susutnya. 

Tidak mustahil bagi kita untuk menggunakan 100% pengangkutan awam demi pengalaman-pengalaman kecil seperti ini untuk belajar sesuatu daripada orang sekeliling. Tidak salah memiliki kereta, tetapi tindakan itu akan mengecilkan ruang sosial malah mencipta zon yang terlalu selesa buat kita. Sesuatu yang merugikan. Jangan takut dengan pandangan orang lain bahawa orang yang memakai tali leher, berbaju kemeja kolar slim fit tidak layak berada di dalam bas atau MRT. Setakat ini, pengangkutan awam bukanlah tempat untuk menentukan status quo atau kasta seseorang di dalam masyarakat. 

Aku menuruni bas di pondok bas dekat Petron Kampung Melayu. Sambil menyandang beg, tidak terperanjat sekiranya orang lain menyangka aku adalah budak tingkatan empat yang mungkin baru pulang dari sesi pembentangan kerja khusus. Masalahnya sekarang adalah musim cuti sekolah. Suasana petang tadi cukup indah di Kampung Melayu Majidee. Sudah dua minggu tak pulang, suasana sebegitu tetap menjadi sesuatu yang dirindui. Berjalan kaki lebih kurang 50m dari pondok bas menuju ke pintu masuk stesen minyak Petron seolah-olah menjadi pengembara di kampung kelahiran sendiri. Seorang pengembara yang sampai ke destinasi yang dituju dengan penuh harapan akan menemui pelbagai kejutan. 

Pintu masuk stesen minyak tersebut ditanda dengan halangan 'operasi pengubahsuaian sedang dijalankan' dan kelihatan dua orang lelaki dewasa sedang menggerudi lantai konkrit. Agaknya mereka ingin memasang tiang halangan konkrit akibat kes sebuah kereta merempuh masuk tempoh hari. Tragis. Di samping seorang lelaki dewasa itu, kelihatan seorang anak muda berumur sekitar 8 tahun, menyapu-nyapu debu konkrit sambil bergurau senda dengan ayahnya tadi. 

Musim cuti sekolah adalah waktu yang tepat buat anak orang-orang biasa untuk menolong ayah bekerja. Tidak mustahil sekiranya anak muda ini membesar menjadi orang yang berguna, seorang Civil Engineer yang berguna, bermula dengan menggerudi lantai konkrit dan menyapu debu di atas lantai. 

Bunyi cengkerik masih kedengaran. Aku sungguh-sungguh menikmati malam Hari Natal ini dengan menulis dan mengabaikan hari-hari kerja yang telah berlalu.

Kawan Baru atau Kawan Lama, Mereka Akan Sentiasa Memberikan Pengalaman Baru Buat Kita

Baring meniarap macam biawak ni meletihkan juga. Tekanan ditumpukan di tengkok untuk memastikan wajah dan mata 90 darjah menatap skrin komputer riba. Seperti selalunya, kalau tidak keluar untuk makan malam, pulang daripada kerja, aku menghabiskan masa melayari internet dan kadang-kadang membaca buku-buku lambakkan dan sentiasa memikirkan idea tempat untuk didaki dan dilawati atau 'life changing activity' yang aku boleh buat sebelum keadaan bertukar menjadi bosan.

Hari Jumaat yang lepas aku telah berjaya menemukan aplikasi Android yang dinamakan 'Meetup' dan 'Couchsurfing' yang lebih mudah untuk digunakan selain dalam versi laman sesawang. Aku cuba untuk menjadikan aplikasi ini 'lebih dekat' dengan penggunanya iaitu aku sendiri lah. Bunyi ayat ini macam 'lebih dekat dengan Tuhan' kan? Baiklah, insaf.

Setelah selesai peranti virus membuat 'scanning', (aku lupa istilah yang betul untuk 'scan' dalam Bahasa Melayu) secara automatik 'Meetup' memaparkan laman utama versi telefon bimbit lalu aku menemukan satu acara yang dinamakan 'The Lost Trail'. Aku klik RVSP. Tertulis dalam perinciannya, "Meet you guys at Checkpoint #1 - Ang Mo Kio Interchange, Breadth 1 bus no. 138 at 8:30am or at Checkpoint #2 - Opposite Ming Shuan Road bus stop at 8:45am."

Aku melonjak riang sebab sekurang-kurangnya, ada sesuatu yang aku boleh buat pada hari Ahad selain menghadiri sesi karaoke. Aku selalu percaya dan berpuas hati dengan pelan mendadak. Ya!

Pertemuan bersama beberapa orang lokal dan expat yang meminati akiviti mendaki gunung, meredah hutan, melancong, 'backpacking' dan mencintai alam sekitar ini telah memberi sekali lagi pengalaman baru berkongsi pengalaman dan pandangan sambil meneroka 'The Lost Trail' bermula dari Seletar Nature Reservoir dan berakhir di Macritchie Park. Bertepatan dengan apa yang dibangkitkan oleh Paul, "Be prepare to lost and that what adventure is about." kami memang betul-betul sesat selepas tersasar arah dan menemui sebuah padang luas bagai padang jarak, padang terkukur. Rumput hijau nampak mendamaikan dan tak sangka dalam Kota Singa ini ada pemandangan macam ini. Seketika, kami melepaskan lelah dengan seteguk air dan berceloteh membuat kelakar. Beberapa kumpulan kecil yang agak menyendiri, melayan perasaan sambil termenung ke sekeliling. Walaupun aku seorang sahaja yang berbangsa Melayu, tetapi penerimaan mereka tanpa rasa prejudis telah membawa aku ke dunia lain. Aku adalah makhluk asing, tetapi seorang makhluk asing yang bercakap bahasa manusia dan tentang kemanusiaan.

Orang pertama yang telah memecahkan ais (baca: ice breaking) ialah Sogi. Kebetulan akulah orang yang pertama sampai di hentian bas Ming Shuan Road iaitu checkpoint kedua untuk bertemu dengan semua peserta dalam ekspedisi ini. Pada jam 8:00 pagi, aku telah sampai ke sini iaitu 45 minit lebih awal daripada masa pertemuan sebenar. Jika tidak terlajak naik bas ke Singapore Zoo, dan tidak perlu berpatah balik, aku akan sampai di sini lebih awal iaitu pada jam 7:45 pagi. Sedikit membanggakan apabila seorang Melayu sampai awal. Tidak. Tidak bangga pun kerana aku datang dengan tidak membawa nama Melayu, tetapi atas nama manusia.Kau tahu kan aku tak suka semangat kenegerian apatah lagi racist. Sedang aku mengunyah kuih onde-onde, terlihat kelihat seorang lelaki berumur sekitar 40-an keluar dari teksi dengan berpakaian sukan dan baju lengan panjang ketat seperti seorang perenang. Dia menghampiri lalu memalingkan muka sebaik sahaja mengetahui kewujudan aku di situ. Ya, aku dah faham dengan perangai manusia, bila tak kenal, diam seribu bahasa.

Dalam misi ingin mengubah dunia, aku memulakan percakapan.

"Hi, are you waiting for someone? Because I'm waiting for this bunch of random people coming from AMK."

Bunyi keras enjin kenderaan yang lalu lalang, menenggelamkan suara kami. Aku cuma boleh nampak pergerakkan bibir menyebut kalimah.

"Yup." (Permahaman komunikasi terputus)

Kami pun menyambung perbualan dengan berkongsi cerita pengalaman trekking atau mendaki gunung secara kasar. Seronok dapat bertemu dengan Sogi, walaupun usianya lebih tua daripada aku, jiwanya masih muda mengembara. Beliau adalah orang yang paling rapat dengan aku sepanjang ekspedisi ini. Dia berkongsi cerita ketika menetap beberapa tahun di Hong Kong dan sering melawati tempat-tempat sekitar pulau konkrit ini. Menamakan Hong Kong sebagai 'Kota Muram', Sogi menceritakan definisinya sendiri tentang Hong Kong yang tidak menepati jiwanya kerana rata-rata bangunan-bangunan rumah atau pencakar langit kelihatan muram dan hitam. Mungkin maksud dia, kota itu tak ada jiwa. Mati. Orang sibuk mengejar kemewahan dan hanya menghabiskan masa untuk wang daripada di rumah. Satu rumah untuk tiga orang ahli keluarga misalnya, adalah cuma 6m lebar dan 7m panjang. Rumah yang kelihatan seperti kotak ini adalah kerana kapasiti penduduk Hong Kong yang padat, maka mungkin pemerintah terpaksa membahagikan ruang HDB sekecil itu. Di ruang kotak itulah dapur, ruang tamu dan tempat tidur yang biasanya katil bertingkat. Mendengar cerita Sogi, aku rasa aku juga tidak akan betah tinggal dalam ruang kotak sebegitu. Sogi yang lahir daripada Surabaya ini, menceritakan keindahan kota wisata alam di sekitar Indonesia termasuklah Rinjani, Gunung Semeru dan Ijen. Selari dengan perancangan aku untuk ke sana menambah rempah tumis perbualan kami. Raut muka Sogi adalah lebih tampak orang Cina, tetapi masih lagi bisa berbahasa Jawa. Tercetus apabila aku cuba mengeluarkan segala bahasa Jawa yang aku tahu.

Mencari orang yang seumur muda seperti aku dalam kumpulan ini agak susah. Mungkin kerana anak-anak metropolitan Singapura lebih gemar menghabiskan masa dengan i-phone. menonton wayang dan trekking di dalam bangunan pusat membeli-belah yang berhawa dingin berbanding keluar melukakan kulit dengan terikkan Matahari.

Dua orang pelajar National University of Singapore mendekati aku ketika hendak memulakan perjalanan dari Seletar Nature Reseivor, Bukit Timah Park, menuju ke Macritchie Park. Aku faham, raut dan fizikal aku yang nampak seperti 'budak sekolah' adalah daya tarik mereka kerana cuma kami yang nampak muda dalam kumpulan itu. Summer dan Rain adalah dua orang mahasiswa berasal dari Tanah Besar China yang mendapat biasiswa pendidikan daripada kerajaan Singapura dan harus bekerja selama 3 tahun di sini sebagai satu ikatan atau 'bond' dalam perjanjian. Ini sudah menjadi perkara biasa di sini malah beberapa rakan sekerja juga mengalami perkara yang sama. Ini adalah suatu peluang yang baik untuk mendapatkan sumber pendidikan yang bagus seperti di Singapura. Perkara selebihnya yang berkaitan politik, aku tidak mahu bicara panjang dengan mereka. Baru berkenalan kan?

Summer nampak lebih energetik berbanding Rain. Dari tingkahnya, aku dapat buat kesimpulan, minatnya adalah lebih kepada mengembara dan mengenal budaya sekeliling. Aku sempat menceritakan hal tentang apa yang orang Islam praktikkan termasuklah solat lima waktu dan berpuasa. Kebetulan, rakan sebilik tidurnya adalah orang Islam. jadi bagi Summer, situasi terjaga dari tidur setiap jam 6 pagi adalah perkara biasa kerana rakannya itu sering bangun untuk solat Subuh.

Walaupun dia sebenarnya tidak merasa selesa dikejutkan awal pagi seperti itu, tetapi kata Summer,

"Other than that, she's perfect! I don't mind."

Toleransi dalam beragama. Yang lucunya, aku terlupa bertanya apa fahaman agama dia sendiri. Perbualan kami dilanjutkan tentang orang Islam yang betul-betul mengamalkan Islam dan orang Islam atas nama sahaja. Kesimpulan yang dibuat oleh Summer adalah melalui pemerhatian dia sendiri apabila mengembara ke beberapa tempat di Indonesia. Kesimpulan persoalan itu adalah biasa. Ada orang Islam baik, ada orang Islam jahat. Ada orang Kristian baik, ada orang Kristian jahat. Rain cuma mencelah dengan beberapa pendapat dan tertawa. Setelah cuba memacu perbualan dengan dia, baru dapat berkomunikasi dengan lancar. Aku menyebut beberapa patah bahasa Mandarin untuk memulakan perbualan. Taktik ini berkesan. Orang akan senang bila dapat tahu, orang lain menghargai budaya mereka sendiri.

"Ni hao ma? Wo hen hao. Xie xie ni. Wo deng peng you. Ke len lai. Kam papa, papa pu chai cia."

Aku betul-betul nak tarik perhatian gayanya. Amaran, ini bahasa Mandarin yang telah dirojakkan.

Sayangnya, tak dapat berbual panjang dengan Paul kerana beliau agaknya fokus mencari jalan dan menguruskan ekspedisi ini bagi memastikan semua orang dalam keadaan yang bagus dan selesa dengan keputusan dan haluan sepanjang pendakian. Sempat bertanya beberapa kerat soalan dan tidak lebih daripada itu bagi memberikan ruang buat Paul menjalankan tanggungjawabnya. Apapun sesuatu yang aku belajar tentang Paul ialah tentang perkongsian ilmu dan pengalaman kepada masyarakat. Beliau banyak menjalankan aktiviti 'volunteering' dan melalui itu, beliau banyak menyumbang tenaga dan idea untuk membangunkan beberapa tempat rumah anak yatim. Kalau tidak silap, ada sebuah rumah anak yatim yang Paul pernah sebutkan. 2015 akan menjadi tahun permulaan untuk aku rancakkan aktiviti sebegini. Sesuatu yang aku janji pada diri sendiri kerana terfikir untuk merasai dan menyumbang kepada masyarakat. Waktu belajar dulu, aku dibiayai oleh MARA dan Ronald McDonalds Children Charity (RMCC). Dua badan ini betul-betul membantu aku dalam melangsungkan pendidikan dan memberikan peluang untuk menimba bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi perkara di luar akademik. Rasa tehutang budi lah sebenarnya. Aku cuma perlu bayar 1% daripada total perbelanjaan pendidikan di Universiti dan 0% untuk RMCC Scholarship. Ini lebih membuat aku terhutang budi. Ya.

Kami sampai di Macritchie Park lebih kurang jam 2 petang dan mengucapkan selamat tinggal sesama sendiri. Mungkin penamat daripada pertemuan ini kurang mengasyikkan, tetapi sepanjang perjalanan, 'teamwork' itu ada. Mungkin kami perlu mengakhiri pertemuan dengan majlis makan-makan atau makan siang bersama supaya penamat acara tidak terputus begitu tanpa tidak bertukar-tukar nombor telefon. Teknologi nampaknya tidak terbatas. Pulang dari situ, aku terus menambah kenalan di Facebook. Orang kata, gunakan teknologi semaksimum yang boleh.

Satu perkara yang aku belajar pada hari ini, ialah tidak kira kawan lama atau kawan baru, mereka akan sentiasa memberikan pegalaman yang baru buat kita, untuk kita pelajari dan untuk dikenang kembali. Cukuplah tak perlu huraian lain,

4:10 AM. Masih berjaga.

Puncak Panti Barat dan Separuh Perjalanan ke Sungai Pelepah Buat Pertama Kali Disambut Mesra Oleh Seekor Teman Baru

Sekejap ya, aku nak google berapa sebenarnya ketinggian Gunung Panti Barat.

460m bersamaan dengan 1510 ft. Maaf aku betul-betul tak hafal. Kira-kira jam 1200, kami sampai di puncak Gunung Panti Barat yang sering berkabus menutup pemandangan. Ternyata sejak dari tadi, kami tidak menemui sebarang bentuk manusia yang melewati atau mengikuti kami dari  arah belakang. Secara jujur, aku menyangka perjalanan ke puncak ini adalah mudah kerana cuma melihat angka ketinggiannya sahaja. (Ketuk kepala sendiri) Namun tidak semudah yang dijangka kerana kami berdua pertama kali ke sini dan terdapat banyak lokasi permulaan pendakian yang tidak begitu jelas dari arah mana ke mana dan sebagainya. 

Perjalanan dari Johor Bahru menuju ke Air Terjun Kota Tinggi yang kini sudah menjadi air terjun lumpur, memakan masa 40 minit, jika memecut kereta dengan rakus. Sudah lama sebenarnya tidak melewati jalan Ulu Tiram - Kota Tinggi - Mersing ini. Banyak perubahan pemandangan dari sisi kiri dan kanan jalan. Walaupun aku yang memandu, tapi mata tetap meliar melihat sekeliling. 

Cukup teruja dengan Kota Tinggi pada saat kami melintasi jambatan yang menuju ke bandar kerana kabus menyelimuti seakan smoke machine atas pentas lalu sedikit demi sedikit kabus pergi dan menayangkan gambaran Bandar Kota Tinggi yang sebenar. Mungkin kerana cuaca sejuk atau hujan sejak akhir-akhir ini menyediakan hawa sejuk sekitar Kota Tinggi. Terus terbayang kisah Sultan Mahmud mangkat dijulang. Dikisahkan, isteri Laksamana Bentan (aku tak tahu namanya siapa) mengidam ingin memakan nangka lalu diminta izin pengawal istana untuk membelah nangka kepunyaan Sultan di taman larangan. Tidak banyak yang dia pinta, cuma seulas nangka sudah mencukupi. Maka makanlah dia nangka kepunyaan Sultan itu dan bahagialah dia terasa sepanjang hari. Ketika itu, Laksamana Bentan sedang berlayar dan bertugas untuk Negara.  Apabila mendapat tahu bahawa nangkanya telah ditebuk, Sultan menjadi murka lalu memerintahkan pembesar membelah perut Dang Anum (baru ingat nama dia) lalu menyaksikan fetus Dang Anum, menguyah seulas nangka tersebut. Lalu terputuslah nyawa Dang Anum rebah di laluan singgahsana Sultan Mahmud. Setelah pulang dari pelayaran dan mendapat tahu Dang Anum sudah tidak ada, lalu Laksamana Bentan menyergah dan membunuh Sultan Mahmud ketika sedang dijulang selesai dia mengambil wudhuk untuk mengerjakan solat Jumaat. Dengan tidak semena-mena, Sultan menyumpah muntah darah tujuh keturunan. Disambut dengan petir dan guruh berdentum. Kesian Laksamana Bentan dan kebodohan Sultan mengikut kata pembesar untuk membelah perut Dang Anum adalah tidak boleh dimaafkan. (Mengeluh)

Sambungan kepada cerita asal. 

Untuk menuju ke lokasi permulaan pendakian, anda harus ke arah Air Terjun Kota Tinggi. 1 km sebelum pintu masuk, terdapat rumah tinggal dan jalan susur ke kiri. Oleh kerana kami berdua pertama kali ke sini, beberapa kali terlepas simpang kerana tidak pasti. Selepas simpang tiga, ada satu papan tanda 'Kota Tinggi Waterfalls' di sebelah kanan. Simpang rumah tinggal itu, ada di sebelah kiri jalan. Jalan masuk adalah tidak berturap dan semak kiri kanan.

Kami sempat bertemu dengan seorang lelaki berbangsa Cina (mungkin orang Singapura) yang sedang berbasikal untuk kepastian. Pelik kerana cuma kami sahaja yang berada di disitu tanpa ada manusia atau kumpulan manusia yang mahu mendaki ke puncak. Sebenarnya ada kawasan luas untuk parkir kereta sebelum jalan masuk ke hutan. Oleh kerana tidak tahu, aku meninggalkan kereta di separuh jalan masuk ke simpang. Apabila melangkah ke denai hutan, beberapa kali wajah aku ditampar dengan sarang labah-labah menandakan sudah 24 jam tidak ada orang yang melalui jalan tersebut. Dengan tidak menghiraukan perasaan sangsi, kami terus berjalan melewati denai-denai yang kurang jelas ada laluan orang atau pendaki. Maka beberapa kali kami tersesat arah. Beberapa kali patah balik kerana keliru dengan laluan orang ke kebun atau berburu dengan laluan pendaki. Tiada apa-apa tanda.

Maka dengan tidak semena-mena, muncul seekor anjing hitam yang nampaknya sudah terbiasa dengan orang seperti kami. Anjing hitam itu seolah-olah tahu bahawa kami tidak tahu jalan, jadi dengan memahami bahasa tubuh anjing, kami ikut arah kemana dia lewati. Akhirnya bertemu dengan beberapa tanda laluan. Kira-kira 30 minit juga masa terbuang sebab hendak mencari laluan permulaan yang betul.

Laluan ke puncak boleh dikatakan berakar dan lecak serta sering bertemu dengan pacat. Kawasan agak berkabus, dan banyak babi hutan yang lalu lalang sepanjang perjalanan. Mujur ada anjing hitam atau kami panggil 'Raff Raff' kerana dialah yang akan langsung ke depan dan menghalau babi-babi daripada menyondol kami. Berderau juga kerana jarang sekali bertemu dengan babi hutan yang ganas bunyinya dari jauh.

Hampir 2 jam adalah total masa yang diperlukan untuk sampai ke batuan 90 darjah sebelum betul-betul ke puncak. Batuan semacam rock climbing antara pemandangan menarik yang boleh dinikmati orang pendaki yang pernah ke sini. Di sinilah tempat untuk wajib ambil gambar. Konon-konon Rock Climbing padahal ada tersedia tali khusus untuk memanjat. Hutan simpan kekal Panti mungkin dijaga rapi kerana tali-tali masih elok cuma macam sudah lama orang tidak memanjat ke sini.

Aku hampir terlupa 'Raff Raff' adalah seekor anjing kerana sepanjang perjalanan, dia bertingkah laku hampir manusiawi dan ibarat seekor teman. Apabila tiba di batuan 90 darjah ini, Raff Raff duduk menghilangkan letih. Agaknya letih betul menjaga kami berdua sampai ke puncak. Kami tinggalkan dia keseorangan kerana Raff Raff tidak mampu memanjat batuan 90 darjah ke puncak. Kami tinggalkan dia dengan harapan nasi lemak ayam yang aku akan makan separuh akan aku jadikan hidangan buatnya nanti bila turun. Hampir dua jam kami menikmati rehat dan makan tengah hari di puncak. Jam 4 kami sudah sampai di bawah kerana turun memakan masa agak cepat.

Perjalanan seterusnya adalah ke Air Terjun Sungai Pelepah. Laluan yang aku jumpai ialah secara haram iaitu masuk ke kebun kelapa sawit. Tak tahu sebenarnya laluan sebenar. Kami tetap ambil jalan itu kerana mengikut hasil google dan blog orang yang pernah ke sana. Gerak dalam kumpulan kecil seperti berdua memang senang kerana tidak perlu banyak songeh.

Makcik jual kuih berdekatan pintu masuk Kota Tinggi Waterfalls adalah penunjuk kepastian kami kerana menurut dia, itu adalah laluan biasa ke sana. Separuh perjalanan, kami bertemu dengan dua orang Cina dan dua orang perempuan Vietnam yang sedang asyik mandi di gigi air. Sempat bertegur sapa tanpa dan mereka memaklumkan perjalanan ke air terjun adalah lebih kurang 4 km. Tidak menjadi masalah untuk kami, cuma ini pertama kali dan tidak tahu jalan sebenar ke sana. Kemungkinan untuk sesat memang ada sebab tak nampak orang lain yang ke arah sana. Jadi tidak ada istilah ikut orang.

Akhirnya beberapa kali hampir putus asa kerana pengakhiran perjalanan adalah hutan bekas ditebang dan tanah merah membara seluas hampir 4 ekar. Tidak tahu mana arah tuju, jadi kami melewati kebun kecil kelapa sawit sambil mengikuti bunyi air sungai atau yang kami sangkakan air terjun, Akhirnya kami menjumpai tanda jalan yang sering dilewati orang. Laluan merentas sungai ini adalah jalan ke Bukit Sisek dan juga menjadi laluan mountain bike atau motorcross. Oleh kerana kekangan masa, kami cuma berhenti di pertengahan anak sungai dan berendam sepuasnya. Mungkin akan ke sini lagi untuk ke beberapa tingkat air tejun Sungai Pelepah. Perkara yang menyedihkan adalah air sungai sebelum ke Air Terjun Kota Tinggi sudah dicemari dengan lumpur dan tanah merah berkemungkinan kesan pembalakkan dan buka tanah yang betul-betul boleh dilihat bersebelahan dengan Air Terjun Kota Tinggi. Kerugian besar buat dunia.

Terpikat Dengan Ahli Keluarga Sendiri

Setelah beberapa minggu lalu dalam tempoh dua bulan, hujung minggu aku telah dipenuhi dengan segala macam aktiviti yang padat termasuklah aktiviti berasama keluarga. Bukan senang sebenarnya hendak meluangkan masa dengan keluarga disebabkan banyak hal yang telah menghalang aku untuk berbuat demikian. Boleh dihitung sebenarnya berapa kali aku balik seberang. Kalau tidak dua bulan sekali, adalah dua bulan sekali.

Secara jujur, aku lebih gemar mencari peluang untuk menghabiskan masa dengan kawan-kawan berbanding keluarga termasuklah mendaki gunung, berendam dalam air terjun, mengejar mentari pagi, menggapai matahari senja, atau sebagainya kerana terlalu individualistik dan demi kepuasan diri. Mengikut pemikiran aku, kalau dengan keluarga, pengakhiranya pasti hambar kerana mungkin kita sudah jarang bertemu sejak aku duduk jauh di asrama, di universiti dan hari ini, sibuk kerja jauh daripada keluarga. Ada ketika, apabila duduk seorang di dalam kamar, aku masih lagi mencari siapa-siapa yang boleh diajak untuk berjalan tidak kisahlah di mana-mana asalkan hujung minggu terisi. Ada ketika, kawan-kawan tidak membalas ajakkan dek kerana sibuk bekerja, belajar, urusan keluarga mahupun urusan isteri bersalin. Walhal, dalam kesibukkan mencari teman itu, aku lupa bahawa aku ada ahli keluarga, emak, abah, kakak, adik yang sudah siap sedia untuk menemani kapan saja. Secara logiknya, ibu bapa kita tidak akan kata 'tidak mahu' bila diajak kemana-mana kerana mereka telah siap sedia untuk apa sahaja sejak kita dilahirkan di dunia. Sejak saat itu, pandangan aku mula berubah. Aku tetap minat dan masih bergerak dengan haluan sendiri tapi kali ini, aku cuba mengajak keluarga untuk melakukan aktiviti yang aku sering lakukan tetapi dengan kadar berpatutan. Tidak bermaksud aku memaksa untuk mendaki gunung 6 hari 6 malam. Cukup sekadar memperkenalkan dunia aku kepada mereka. Nah, hasil penuaian idea itu, aku berjaya menghasilkan album foto 'Family Wak Maskan's Introduction to Hiking'. Pastinya aku tidak sabar untuk album-album yang seterusnya. Banyak hasil positif yang aku kaut hasil 'life-changing activity' ini. 

Benarlah orang kata, yang jauh asyik teringat, yang dekat tak terpikat. Hari ini, aku sudah terpikat dengan ahli keluarga sendiri. 

Siri Monolog Syok Sendiri #3

Kalau dekat sini dah cantik macam ini, apatah lagi dekat syurga. 
- Gunung Panti & Sungai Pelepah, Kota Tinggi, Disember 2014.

Mencari Dewi Anjani dan 'Bertarung' Dengan Keindahan Pulau Komodo di Lautan Flores #1

Dengan tajuk ini, mungkin bahasa aku yang agak melebih-lebih haha. Harap sepanjang penceritaan ini tak buat orang lain jelak kerana aku ingin kongsikan cerita pertualangan ke Nusa Tenggara Timur (NTT) dan Nusa Tenggara Barat (NTB) Indonesia yang begitu mempesona dengan wisata alamnya. Cukup berterima kasih kerana berpeluang mendapatkan pengalaman tak ternilai ini dengan kelebihan kesihatan tubuh badan dan kekuatan minda menempuh rajau semasa pendakian ke atas puncak berketinggian 3726m dari aras laut di samping menyorok di dalam kabus sejuk sepanjang perjalanan ke puncak. Pelayaran di Pulau Komodo merentasi Kepulauan Flores, menambah seru perjalanan pada kali ini, dari Pulau Seribu Masjid, merentasi juga pulau-pulau kecil sekitarnya langsung ke Labuan Bajo. Sedikit rumusan kepada 'Mencari Dewi Anjani dan 'Bertarung' Dengan Keindahan Pulau Komodo di Lautan Flores' sebelum menyelam dengan lebih dalam lautan aksara yang belum lengkap dan bakal dilengkapkan dari semasa ke semasa untuk merakam kenangan. Buat cucu cicit juga nanti dan bila sudah tua, atau mungkin hampir Alzheimer nanti, halaman ini akan memetik kembali ingatan yang mungkin pudar pada ketika itu.

Laluan Sutera - Segmen I

Singapore - Kuala Lumpur - Xian - Jiuzhaigou - Lanzhou - Zhangye - Dunhuang - Xian - Kuala Lumpur - Singapore

Cukup cantik. Rintik-rintik hujan sedikit membelai perasaan aku pada ketika ini. Aku yang masih berjaga malam, tidak mempunyai apa-apa perancangan selain melangut di atas meja. Cukup cantik kalau aku kongsikan sedikit cerita perjalanan tempoh hari. Selama 10 hari, Tuhan telah memberikan kesempatan untuk aku berkelana di Tanah Besar China yang cukup ramai penduduknya tapi aku tak menyangka bahawa Bumi-nya tetap luas kerana masih ada lagi beberapa daerah terpencil yang kurang manusia, tiada bunyi bingit kota. Yang ada cuma hadiah buat pengunjung berbentuk keindahan alamnya dan budayanya juga. Sewaktu dalam perancangan awal, yang terlintas dalam fikiran ialah gambaran sami-sami Buddha berterbangan dan gunung-ganang yang menjemput masuk ke dalam dasar keindahan yang memukau. 

Dari Kota Singa ke Johor Bahru, aku merentas Tambak Johor. Pada ketika itu, perjalanan yang biasanya memakan masa satu jam, telah menjadi hampir tiga jam. Memang begitu perkiraan sebenarnya kalau diambil kira macet atau ramainya orang di bangunan imigrasi Singapura atau Malaysia seakan ada rusuhan. 

Sampai sahaja di Johor, 'Shuttle Bus' dari Johor Bahru Sentral membawa aku melungsur ke Lapangan Antarabangsa Senai. Oleh kerana bergaya 'backpacker', segalanya yang percuma aku sebat, termasuk 'Shuttle Bus' ke Lapangan Terbang ini yang percuma. Cuma harus menempah dan membuat salinan tiket bukti tempahan secara online. Mudah. Cuma mengambil masa satu jam sahaja untuk sampai ke Lapangan Terbang Senai dari JB Sentral. Terlupa hendak ingatkan bahawa Shuttle Bus' percuma ini untuk pengguna Air Asia sahaja.

Segala kelengkapan individu pastinya sudah cukup untuk perjalanan pada kali ini. Tidak banyak yang dibawa, cuma barang asas bahkan, pakaian cuma dua pasang sahaja tetapi baju sejuk wajib dibawa demi melawan pelukan dingin cuaca di sana. Oleh kerana musim luruh dan hampir memasuki musim dingin, sudah tentu peratus keinginan untuk mandi adalah rendah. Jadi kelengkapan pakaian adalah memadai, kecuali engkau memang metroseksual. Lagipun memang tidak ada niat untuk membayar caj bagasi kerana target berat bagasi adalah kurang 7kg.

Aku membelek-belek peta-peta lokasi yang di-print hampir setebal 4mm. Rasanya aku betul-betul tidak sabar untuk memulakan perjalanan. Pelbagai gambaran berlari-lari dalam benak. Oh ya, memang kami jangka, segala nagivasi akan berbentuk manual tanpa Google, Facebook, Instagram, mahupun Twitter. Hal ini menambah seru perjalanan pada kali ini. Untuk pengetahuan, semua bentuk aplikasi media sosial disekat di sana dan 'search engine' yang boleh digunapakai ialah www.baidu.com. Jadi komunikasi asas Mandarin sedikit sebanyak bakal membantu bagi memudahkan perjalanan kami.

Cerita pasal tiket promosi dua hala dari Johor Bahru ke Xian yang berharga RM652, cukup membuat aku dan orang lain pastinya tambah terpesona untuk menjelajah dengan bajet rendah. (Gelak sekejap)

Berikut merupakan senarai makhluk yang terlibat dalam perjalanan pada kali ini. Aku beruntung kerana bertemu dengan insan-insan ini kerana bukan senang hendak mencari teman yang sekepala apatah lagi berbeza latar belakang dan bangsa, agama serta negara. Secara jujur, teman berkelana juga harus memainkan peranan penting dalam menjayakan sebuah pelan pengembaraan.

1. Gunawan Adi Waskito - Berasal dari Kopo, Bandung. Dia pernah mengaku kacak dan kelakar.
2. Victor Adi Martono - Berasal dari Kopo, Bandung. Aku sifatkan dia ini jenis pandai bercerita. 
3. Maria Kartika - Seorang gadis 'decision maker' yang cekap dan pantas. Mempunyai darah orang Flores dan tinggal di Jakarta, membuatkan aku bertambah yakin dengan keperibadiannya.
4. Asyraf Maskan - Seorang nubis yang suka berangan-angan tapi melangit. 

Setelah 5 jam memecut laju dalam ketinggian pesawat 4500' di udara, kami sampai di Xian (Shaanxi) tepat jam 11:00 malam. Penat tidak terasa mungkin kerana perjalanan malam yang membuatkan aku enak dibuai mimpi. Para penumbang juga tidak banyak buat hal. Rata-rata penumpang adalah warganegara China.

Sesampainya kami di kota Xian yang tersohor ini, kami dikejutkan dengan teknik meludah orang-orang di sini, yang bagi aku cukup mengerikan semacam torpedo. Victor hampir saja terjerumus ke dalam satu kolam air liur yang bertakung hasil ludahan air liur serta kahak seorang lelaki yang duduk di sebelahnya. Kami hanya mampu tertawa. Malam itu, kami ditemani plug-plug pengecas telefon bimbit serta sofa mesin urut yang kami cabut plugnya agar tidak memekik-mekik bunyi amaran. Beruntung betul kami pada malam pertama di kota Xian dan pandai mengambil kesempatan!

Deringan jam loceng tepat jam 4:00 pagi sedikit membingitkan telinga. Terpaksa bangun awal untuk mengejar kapal terbang dari Xian ke Jiuzaighou, yang bakal menjadi destinasi pertama kami. Untuk Jiuzaighou, aras tak-sabar-nak-eksplorasi adalah agak tinggi kerana terpukau dengan keindahan tasik emerald nya dan pemandangan musim luruh yang aku tak pernah lihat dan alami sendiri. Siap sedia roti halal dan air minum di tangan, aku berjalan ke Terminal Dua, untuk penerbangan domestik yang tidak jauh dari Terminal Satu, tempat kami tidur tadi. Merentas jejambat pada awal pagi, dan lampu-lampu utama sepanjang jalan masih terpadam. Kesejukkan sampai menggigit tulang mulai terasa. Aku jalan laju-laju dengan harapan otot berkerja kuat menghasilkan haba dan menambah kehangatan perasaan untuk memulakan penjelajahan pada hari pertama!

Semasa melewati laluan bergajah merentasi Terminal 2 Lapangan Terbang Shaanxi, terdapat beberapa buah kotak kubikal yang aku sangkakan tandas. Rupa-rupanya kotak-kotak kubikal ini adalah hotel jimat, khusus buat sesiapa yang mungkin memerlukan tempat tidur sebenar yang selesa, walaupun bukan lima bintang, cukup lengkap dengan plug elektrik, katil untuk seorang, cuma tandas tidak disediakan. Boleh tahan, cuma tak dapat informasi tentang harga per malam kerana kaunter cuma buka dari jam 8:00 pagi hingga 10:00 malam. Bagi aku, terlentang di atas lantai di ruang menunggu sudah cukup selesa. Sebab itu aku sentiasa bawa 'sleeping bag' ke mana sahaja. 'Sleeping bag' berjenama Giant pun sudah cukup untuk menghangatkan badan dan mengalas tempat tidur. Sebenarnya malam itu, kami gagal menemui ruang menunggu akibat gagal memahami papan tanda yang semuanya dalam tulisan karakter bahasa Mandarin. Pilihan paling terbaik ialah curi-curi tidur di atas kerusi mesin mengurut yang telah dimatikan suiznya. 

Selain barisan kerusi-kerusi di ruang menunggu, terdapat juga kemudahan asas seperti air panas dan sejuk. Ini adalah kemudahan yang dicari-cari bagi mereka yang mahu masak mee segera untuk mengalas perut. Perut aku pun memang dah berkeroncong sejak dari tadi kerana tiada sumber makanan halal. Cukuplah kismis dan kurma yang aku bungkus dari rumah menjadi alas perut. Cukuplah gizi untuk pagi itu.

Sepanjang persinggahan kami, plug elektrik juga tersedia di kebanyakkan stesen kereta api atau kapal terbang. Kalau tidak silap ada 8 jenis suiz iaitu untuk plug tiga pin, dua pin, USB, USSB dan sebagainya, terletak berhampiran dengan ruang menunggu. Setiap kali hendak mengecas telefon bimbit, aku tak berjaya mendapatkan suiz yang kosong mungkin kerana sering menjadi rebutan orang. Di China, plug dua pin atau tiga pin berbentuk plat besi (bukan silinder) digunakan sebagai saiz normal untuk suiz elektrik.

Kelihatan dua gadis Sepanyol menghampiri kami. Sedang asyik mengunyah kurma, aku terus melontarkan senyuman tapi malang, senyuman terpelanting balik. Boleh tahan sombong minah Sepanyol ini atau memang senyuman tak gosok gigi aku kurang memberangsangkan. Niat baik untuk memulakan komunikasi dan sesi perkenalan gagal. 

Penerbangan dari Shaanxi atau Xian ke Jiuzhaigou mengambil masa 1 jam 45 minit. Tiket China Eastern ini kami sudah tempah dan beli sebelum menjejakkan kaki ke sini, termasuk juga tiket kereta api dari lokasi ke lokasi utama yang telah menjadi target untuk kami jejaki. Kos penerbangan boleh dikatakan agak mahal di sini iaitu minimum 100 RMB untuk sehala. 

Semasa mendarat, kelihatan pergunungan yang berbatu dan berwarna kelabu. Dari atas ketinggian ini, ajaibnya, boleh dilihat perkampungan kecil di antara lurah gunung. Puncak pergunungan Tibet yang memiliki pemandangan yang sama dengan banjaran Himalaya ini disaluti salji putih, tambah bersinar dengan limpahan cahaya Matahari terbit pada ketika itu. Tingkap kapal terbang China Eastern ini membingkai pemandangan yang cukup mengujakan ini. Saat yang paling indah menyambut kedatangan aku ke provinsi Sichuan. Terasa disambut mesra. 

Tolonglah Bagi Aku Peluang Nak Menulis

Sebenarnya, ada beberapa perkara yang membuatkan aku terpanggil untuk menulis pada ketika ini.
 
Beberapa minggu (aku rasalah) aku semacam telah diberikan mandat oleh seseorang. Mungkin dengan meletakkan janji di dalam segmen ini, aku akan disiplinkan diri untuk menepati sesuatu yang aku anggap janji. Mungkin boleh dinilai sebagai janji kepada diri sendiri juga.
 
Sedar bahawa merakamkan setiap pengalaman atau perasaan sendiri boleh membuatkan seseorang lebih mengenali diri dan berkongsi setiap apa yang kita rasai adalah sedekah ilmu, aku bertambah rakus ingin menulis.
 
Jadi, rasanya tak rugi untuk kongsikan semua yang kita ada. Aku cuma perlu menekan punat dan terus membaca, mengalami, menulis dan terus menulis. Semoga usaha untuk menulis dipermudahkan kerana aku percaya ilham itu datang daripada Tuhan. Cukup tipu kalau sering menyalahkan ilham tak datang-datang, walhal mulanya gagal berusaha ke arah itu. (Mengeluh)
 
Beberapa hari ini, sedikit sebanyak, rangka pengalaman merentasi Nusa Tenggara Timur dan Nusa Tenggara Barat Indonesia membuahkan sedikit hasil. Cukup mempersona aku boleh bilang apabila menterjemah pengalaman sebenar dalam bentuk abjad dan perkataan. Sudah lama aku tak rasa begini. Rasa puas.
 
Untuk segmen seterusnya, aku bercadang untuk menulis secara terperinci pengalaman sendiri bersama rakan-rakan merentasi beberapa kota kecil di sebuah negara yang menutupi hampir 40 peratus Benua Asia. Mujur beberapa catatan sepanjang perjalanan membantu sedikit sebanyak input penulisan.
 
Seterusnya, aku bakal berkongsi perancangan untuk menjelajah secara solo di sebuah negara. Mengapa aku mahu bergerak secara solo, dan bagaimana caranya aku akan bergerak secara solo serta apakah bentuk perancangan? Itu juga aku akan muatkan dalam huraian penceritaan.
 
Aku rasa tulisan ini seakan prakata kepada segmen penulisan pada masa mendatang. Acah-acah. Tolonglah bagi peluang aku nak menulis. Amin.
 

Anti-sosial

Terlalu ego untuk meletakkan apa jua bentuk gambar dalam blog ini sebab cuba nak kekalkan peraturan 'cuma ada tulisan'. Sebab ini agaknya menghalang aku untuk berkongsi pengalaman berkelana di tempat orang. Cukuplah gambar habis di-post di Facebook dan Instagram. Itu pun aku rasa orang dah cukup menyampah. (Gelak sikit).

Hampir tiga hari bersembunyi di dalam 'gua' dan tak keluar-keluar. Berjaya menyelami perasaan golongan yang anti-sosial. Sukar juga. Antara kelebihan berbuat demikian adalah, kau ada masa 100% untuk diri sendiri dan tidak terpengaruh dengan hasil keputusan orang lain. Tak ada 'domino effect'.

Apa yang kau alami pada masa itu, adalah kesan daripada keputusan untuk melakukan di pihak kau sahaja. Jadi kau tak ada alasan untuk menyalahkan orang lain.

Berpendapat, tak salah dengan bersendiri untuk beberapa ketika, kau akan lebih mengenal diri sendiri dan menjadi orang yang lebih baik.

Penebaran Wang Pada Bulan Lepas

Lidah 'sneakers' aku yang terjelir keluar seakan mengejek tepat di muka. Mungkin ungkapan yang paling sesuai dituju pada ketika ini ialah 'Padan muka kau'. Memikirkan perbelanjaan bulan lalu yang agak banyak. 'Spreadsheet' yang aku rangka untuk merekod setiap perbelanjaan masuk dan keluar setiap bulan nampaknya berjaya menggertak, supaya jangan tebarkan wang untuk perkara yang tidak perlu.
 
Untuk rumusan, perbelanjaan aku pada setiap bulan secara normalnya lebih kepada menampung kos-kos asas. Ini adalah senarai kategori yang boleh dimaafkan.
 
1. Bilik sewa
2. Bayaran Pinjaman Balik Rumah
3. Makanan
4. MRT/Bus Ez link Card
5. Buah-buahan
6. Perbelanjaan keluarga
 
Berikut pula perbelanjaan tambahan khusus memenuhi nafsu. Disenarai mengikut tangga terbanyak jumlah perbelanjaannya.
 
1. Travel. Termasuk duit minyak kereta, tol dan tiket bas atau kapal terbang serta kos sepanjang penerokaan
2. Belanja barang-barang kehendak dan keperluan aktiviti mendaki gunung  
3. Berfoya-foya seperti makan sedap, Ice-Skating dan sebagainya
4. Buku / Majalah
 
Melalui penyenaraian ini, aku boleh buat beberapa kesimpulan atau perkara
 
1. Kadang-kadang aku terlalu selesa makan sedap. Kena kawal. Tidak boleh dimaafkan.
2. Berfoya-foya. Berbelanja untuk perkara baru dalam hidup boleh dimaafkan. Tapi untuk perkara membazir seperti menonton wayang adalah tidak dimaafkan. Bulan ini berjaya berhenti tonton wayang atau karaoke.
3. Buku / Majalah. Ini boleh dimaafkan.
4. Belanja barang aktiviti mendaki gunung. Harus kawal dan beli untuk perlu sahaja.
5. Travel. Ini dimaafkan sebab pengalaman berharga.
 
Keuntungan pada bulan ini.
 
1. Kerja design = RM 0
2. Sewa Rumah = - RM 500 (Sebab kena bayar duit pinjaman bank.)
 
Insaf.

Perkhidmatan 'design' bunting / logo / banner / poster untuk acara / majlis khusus atau persendirian, boleh WhatsApp nombor yang tertera ini +65 8430 3208.
 

Ada Beberapa Perkara Yang Ingin Sekali Aku Kongsikan

Ada beberapa perkara atau target yang ingin sekali aku kongsikan atau abadikan dalam 'jurnal' ini. 

1. Memiliki gitar (yakni ukulele), belajar memetiknya dan membuat lagu puisi. Mungkin kalau aku sudah tua kerepot, anak-anak sudah tak peduli dekat aku (mungkin), sekurang-kurangnya aku boleh 'mengemis' untuk mendapatkan wang belanja hidup. Mungkin satu hari nanti aku akan menghasilkan sesuatu alunan nasihat untuk cucu cicit pada masa akan datang. Menceritakan apa yang berlaku pada zaman kita pada hari ini semacam sebuah wasiat sepanjang zaman. Ambil contoh lagu Gurindam Jiwa, Berita Kepada Kawan dan sealiran dengannya. 

2. Menghayati tafsir Al-Quran dan tidak sekadar membacanya. Kalau buku novel atau zine, aku boleh baca dan hayati, aku percaya sastera indah yang terkandung di dalam Al-Quran juga boleh dijiwai. Kalau selama ini tercari-cari apa 'novel' yang sepatutnya kita baca sebelum tidur, sewaktu di dalam LRT, dan sewaktu kita kosong atau bosan.

3. Belajar asas bahasa Mandarin tahap kanak-kanak Tadika pun tidak mengapa. Bayangkan sudah 25 tahun membesar di tanah air, tapi tidak dapat menguasai bahasa lain dengan lancar. Terasa rugi.

Aku rasa cukup untuk episod pembangunan diri pada kali ini. 

Memilih Untuk Kurang Bercakap

Semalam aku sempat khatam filem Hong Kong yang terbaik 'ever' iaitu Para-Para Sakura. Dilakonkan oleh Yuri (Tak tahu nama artis sebenar) dan Aaron Kwok. Satu perkara yang membuatkan aku nak bagi lima bintang ialah skrip yang dilontarkan oleh pelakon tepat dan berfalsafah. Sampai boleh 'relate' apa yang aku rasa sekarang.
 
Jadi watak Aaron Kwok, adalah seorang lelaki buta warna yang lurus, dan mempunyai kenyakinan diri yang rendah. Kerana memiliki kekurangan itu, dia terpaksa membuat keputusan setiap masa termasuklah ketika memilih warna baju pakaian yang dia sendiri tak tau warna apa. Malah oleh kerana terlalu susah membuat pilihan, dia gemar membuat taruhan seperti melempar wang syiling untuk bertemu dengan perempuan misteri yang melanggarnya sewaktu mengetuai acara berjoget di atas pentas. Ini kerana, setelah bertemu sekali, dia telah mengetahui bahawa perempuan itu bakal berkahwin.
 
Aku cukup terkesan bila watak Aaron Kwok ini oleh kerana dia buta warna, dan dia juga menyifatkan dirinya sering melakukan kesalahan dalam kata-kata. Oleh itu, dia memilih untuk tidak banyak bercakap. Sebagai alternatif, dia menyalurkan emosi dan kata-kata dengan berdansa. Unik betul. Yuri pula adalah sebaliknya. Dia terbiasa untuk melontarkan apa saja yang bermain di dalam fikirannya. Ini menjadikan karakter Yuri pun unik. Kiranya Yuri jenis orang yang 'On-je' atau 'follow your heart'. Yuri ini nampak tidak serius. Suka main-main dalam tindak tanduknya. Alangkan jatuh dalam perigi pun dia sempat ketawa.  
 
Aku rasa ada persamaan dalam dua karakter ini dalam diri. Tentang cakap sebarang itu, aku setuju. Kadang-kadang aku main cakap saja apa yang aku rasa betul. Mungki ada yang tak selesa dengan karakter aku ini dan aku betul-betul minta maaf kalau sering bagi salah info. Ok bukan salah info tapi info hampir betul kerana kadang-kadang salah ayat atau salah guna perkataan. Sebab itu aku selalu diketawakan dek kerana salah sebut perkataan yang sepatutnya. Mungkin aku kena jadi macam Aaron Kwok. Memilih untuk kurang bercakap. Itu saja nak luahkan. Sebab bukan ada orang baca pun. Aku tengah cakap sendiri. Ini cuma pangkalan data, cerita dan perasaan aku sendiri. Kalau ada nasib baik orang terbaca itu rezeki dan moga menjadi ilmu buat mereka yang bertuah.
 

Berangan Dalam Bilik. Semua Orang Dah Besar.

1. Fuh. Cukuplah hari minggu ini aku berangan dalam bilik. Membosankan, tapi sedikit memberi ruang dan peluang untuk melihat semula kekurangan diri. Rupanya ada sisi lain dalam hidup yang belum lengkap meliputi rohani dan jasmani. Malas nak cerita panjang. Semua orang dah tahu. Semua orang dah besar. Ya, tak?
 
2. Kita akan lebih mengikuti peraturan kalau bergerak secara solo tanpa dipengaruhi orang lain. Lebih-lebih lagi orang yang kita kenal semacam kawan kita, orang yang kita percaya dan akan ikut cakap mereka. Kerana itu, berada di tempat asing atau lingkungan orang yang kita tidak kenal, kita akan lebih berdisiplin. Mungkin tak ada orang nak ingatkan untuk kemas bilik, cuci baju, atau kalaulah kita malas sangat nak buat sesuatu, tak akan ada orang lain peduli dan buatkan untuk kita. Jadi kita cuma ada diri kita dan kena belajar bawa diri. Ya, tak?
 
3. Umur yang suku abad ini betul-betul mencabar. Ada orang nampak kita bahagia di luar tapi sebenarnya kita bertarung untuk memerdekakan diri sehari-hari. Kita nak bebas datang ke pejabat dan buat kerja dengan suka hati. Kita nak bebas buat keputusan sendiri tanpa perlu memenuhi kehendak orang lain atau ikut norma dalam masyarakat. Contohnya, kita terpaksa memenuhi 'adat' lepas habis belajar, kena kerja dalam pejabat dan berpakaian baju lengan panjang, bergaya kemas. Contohnya lah. Kerja selain yang nampak kaya-kaya tidak akan dipandang tinggi atau mulia. Kena ada kereta atau motor besar. Padahal setiap bulan kita kerja keras untuk membayar hutang pinjaman. Mungkin dah tiba masanya kita kena jadi 'orang putih' yang tak kisah nak jadi apa, asalkan kau bahagia, di samping memenuhi ajaran agama atau pegangan masing-masing lah. Sebab agama atau pegangan lah yang memandu kita. Tapi memang diduga manusia susah nak ikut. Jadi hari-hari, kena ada usaha memperbaiki diri. Masih ada masa. (Berbisik)
 
4.  Walaupun sering tersengih melihat dua mempelai, aku rasa bukan senang nak menempuh usaha ke arah itu. Yang 'itu' lah. Malu aku nak cakap. Sebab aku bosan sebut banyak kali. Kesimpulannya, kena sentiasa bersedia sebab aku yakin, bila sampai masa, akan dikurniakan rezeki yang tak terduga. Sebab aku memang suka perancangan tak terduga. Ya, tak?
 
5. Berniaga. Memang bagus nak cari duit demi pembangunan diri. Setiap kali berbual bicara pasal benda alah ini, aku rasa kita perlu mengajar diri untuk tetap ikhlas dan tidak terlalu materialistik atau terlalu mengejar wang. Walaupun aku faham rezeki orang lain-lain. Sebab usaha yang banyak akan diganti dengan hasil yang membunga dengan sendirinya. Terlalu obses dengan kebendaan pun tak boleh juga. Ya, tak?
 

Kelakarnya. Aku Mampu Mengubahnya.

Ini tak kelakar. Dalam sejarah seorang Asyraf Maskan, ketinggalan pesawat terbang. 

Aku bukan malas nak cek email konfirmasi dari Air Asia, tapi terlalu optimis dan percaya dengan diri sebab cuma cek tiket sekali sahaja. Masalah juga. 

Dibuktikan lagi dengan insiden tersasar arah sewaktu berbasikal merentas East Coast Kota Singa. (Termenung dalam). Adakah percaya diri dan 'follow your heart' ini merupakan masalah besar buat orang lain? Masalah juga.

Sering muhasabah diri, dan aku menganggap karakter sebegini mungkin sesuai untuk kondisi tertentu sahaja. Contohnya, apabila kita sedang melancong dan memang betul-betul tiada sumber rujukan, atau petanda arah, konsep 'follow your heart' atau lebih mudah 'gerak hati' adalah relevan. Pasti pengakhirannya, membuahkan jalan penyelesaian, malah membuka mata orang lain. Tetapi karakter ini tidak sesuai ditonjolkan sewaktu bersama ramai orang, bersama teman yang tidak 'easy going', sebab pasti akan dimaki di depan khalayak. 

Aku percaya, oleh kerana aku sedar diri, aku mampu mengubahnya. 

Peperiksaan Tingkat Tinggi Seorang Sahabat

Macam-macam yang sudah berlaku dalam jangka masa satu minggu sebelum Ramadhan. (Aku tunduk dalam-dalam menyelami apa yang sedang berlaku.)
 
Sebuah insiden yang aku boleh simpulkan, mengajar aku untuk lebih bersedia dalam apa jua bentuk dugaan. Insiden yang aku klasifikasikan sebagai 'rare', bukan berlaku ke atas diri aku sendiri, tetapi berlaku kepada orang yang agak rapat dengan aku. Aku juga boleh simpulkan insiden ini sebagai Qada' dan Qadar Allah.
 
"Ini Sains." - Ya, memerlukan pembuktian. Aku nak kau buktikan yang kau adalah diri kau.
"Kuasa." - Ya, semua orang mahukan kuasa tapi tak semua dapat mengawal kuasa. Apakah yang dapat mengawal kuasa? Jawapan: Agama. 
"Janganlah bersedih. Kalau sedih menangis dalam bilik." - Tidak menangis dalam bilik tetapi menangis di dalam hati.
 
Beberapa kata-kata yang sering dilontarkan oleh seorang sahabat rapat yang kondisinya agak tidak stabil, diselangi dengan jawapan yang aku berikan. Masih lagi terngiang-ngiang di dalam benak sebab aku cuba nak cari jawapan kepada persoalan atau kenyataan ini. Aku tatap mata dan riak wajahnya dan sedaya upaya mencari kepastian itu adalah beliau.
 
Apa yang sedang berlaku, membuktikan bahawa ilmu Allah adalah terlalu dalam dan luas. Ilmu dan pemikiran manusia terbatas. Kalau ada yang menanyakan aku tentang reaksi aku terhadap apa yang berlaku, aku cuma bertindak sebagai seorang sahabat, menempatkan aku dalam keluarga beliau dan bertindak se-matang yang aku boleh. Harap doa daripada semua untuk yang terbaik buat sahabat aku yang aku boleh simpulkan sedang menduduki peperiksaan tingkat tertinggi buat beliau. Aku percaya dia mampu.

Keluh Pada Hari Minggu Yang Sucks

Blog berkarat, imaginasi melarat. Dah sampai masa untuk sambung menulis secara rakus serta lebih fokus kerja-kerja mereka design. Semangat. Mana? Mana? Mana? (Bergema sekejap). Orang kata, sibukkan diri sebelum ada anak sepuluh. Orang kata lah.
 
Minggu lalu, Alhamdulillah berpeluang menempah pengalaman mendaki Gunung Tahan selama empat hari tiga malam dan terus menuju ke Pulau Redang. Perjalanan ke Gua Musang menaiki bas dengan gaya ber-bagpack (gaya saja lah) tanpa pelan rasmi, menjadikan perjalanan sepanjang minggu lalu penuh dengan keterujaan. Aku selesa macam ini. Sedikit sebanyak menyuntik semangat mengembara dan mengembangkan lingkungan sosial. Bukan setakat kenal orang dalam kantor sahaja. Aku rasa semua orang yang terperangkap dalam lingkungan sosial teman sekerja kena buat macam ini.  
 
Selain menjadi 'rumah banglo' buat hidupan marine, dasar lautan tidak pernah mengecewakan para tetamu yang datang. Memang sudah rezeki tetamu seperti aku, terlalu jakun apabila dihidang dengan juadah alam seperti ini seperti di Redang. Bukan buat pertama kali. Oh. (Gitu, konon-konon letak "Oh" di penghujung ayat.) Selain pemandangan gunung dan pendakian yang begitu indah, aku dapat simpulkan bahawa Tuhan sudah banyak berjasa buat makhluknya dan inilah masanya untuk makhluk menyelongkar keindahan ciptaan-Nya. Bila lagi kan? Tak akan nak duduk rumah atau warong kopi tengok bola sambil hisap rokok daun? Kemajuan harus dicipta sendiri. Bukan duduk terpaku.
 
Hari minggu pada kali ini yang bakal dibazirkan. Akibat pelan awal yang tak jadi. Ini antara sebab aku tak suka pelan awal. Tetapi malam kelmarin, memang aku dah cukup berusaha berlari melilau mencari tiket bas namun gagal. Lagipun emak abah tak setuju kalau aku memandu tengah malam. Peh, anak mithali juga aku ni rupanya. Nah sekarang, komputer riba untuk kerja design tiada dan baju tak basuh terbengkalai di sana. Ke mana kah harus aku salurkan kekecewaan ini? Tak mahu jadi Melayu terbongkang di rumah sambil hisap rokok daun kemurungan. Akhirnya aku membuat keputusan untuk menulis dalam blog dengan kisah tak sempurna ini. (Keluh aku pada hari mingg yang sucks)

Mata Dah Rela Untuk Digari Sampai Tahun Hadapan

Sempena tahun baru yang menjelang, eloklah sekiranya aku mencuri masa tidur yang jarang sekali aku dapat. Kebetulan aku masih di alam syurga percutian, aku dikatakan bebas daripada beban tugas. (Jerit puas sampai bergema. Tapi dalam hati lah)

2012-2013 telah menyajikan aku pelbagai bentuk pengalaman baru. Hijrah dari satu fasa ke satu fasa. Hijrah dari satu tempat ke satu tempat yang asing. Hijrah dari kebiasaan kepada sesuatu yang ganjil. Pokoknya, rentetan peristiwa di lorong perjalanan dua tahun yang lalu mencabar pada awalnya tetapi menjadi pengalaman manis setelah menjalaninya. Dapat rasa hikmah hijrah. (Tarik nafas, hembus nafas dengan kadar perlahan)

Sebenarnya aku tak reti nak tengok bunga api menjelang tahun baru. Bunyi yang pop pop pop dan corak bunga api yang bak bunga kembang layu di tasik madu itu mungkin sudah bosan bagi aku. Simptom dah berumur agaknya. (Mulut berot tak peduli)

Macam orang lain, aku pun nak ada azam. Oh mungkin bukan azam tapi niat. Niat pertama, nak beli rumah atas tanah hasil usaha sendiri. Rumah ini akan jadi perlaburan jangka masa panjang buat keluarga dan modal untuk rumah kedua. Setakat ini masih dalam usaha mencari walaupun ada dua rumah yang bagi aku bagus gila tapi terlepas peluang dibeli orang. Niat pertama ini nampaknya releven. Nampak harta duniawi sangat tapi aku rasa rumah adalah subjek yang akan mengajar aku untuk lebih komited, rasa tanggungjawab terhadap keluarga atau bakal keluarga (kalau ada jodoh lah) dan aku percaya, berbudi pada tanah akan mengeluarkan hasil. Walaupun aku tak tanam pokok kelapa sawit atau getah, tapi aku akan tanam keperibadian sampai matang. Faham tak? Tak faham sudah.

Niat kedua, nak beli buku sketch atau buku nota. Berprinsipkan 'tulis atau lukis apa yang kau jumpa sepanjang masa', aku rasa nak buat sesuatu yang bermakna buat diri sendiri. Ini juga adalah sebagai latihan menulis dan menggambar catatan perjalanan. Ceritanya aku terdengar idea daripada seorang pemanggil dalam radio. Pakcik atau Datuk yang diceritakan telah berjaya dalam hidup ini berkongsi rahsia kejayaannya dengan mengambil nasihat Tun Mahathir. Sentiasa sediakan pen dan kertas atau buku nota. Bagi aku ini logik dan unik. Satu usaha yang bagus untuk aku latih diri menulis. Mana lah tau kalau dah pencen, boleh jual buku dan hasil kerja tangan. Tabiat suka mencatat boleh merangsang otak untuk berfikir dan menguatkan daya ingatan. Yang uniknya menulis pakai pen secara manual bukan pakai Galaxy Note atau I-pad.

Niat ketiga, biarlah aku sambung nanti bila dah masuk pertengahan tahun 2014. Gitu boleh pula tangguh azam atau niat. Bagi aku dua benda utama ini akan menjadikan 2014 aku lebih unik dan menarik. Selain meneruskan tabiat-tabiat aku yang lalu, dua benda baru ini, aku percaya cukup untuk mengubah keperibadian serta kematangan diri sendiri.

Cukuplah masa tidur yang aku dah curi setakat malam ini. Mata dah rela untuk digari sampai tahun hadapan.