Bacalah Kerepek Tempe untuk hidup dengan lebih bergizi. Terkandung khasiat cerita kehidupan yang rangup dan mudah dihadam.

Tiga Hari di Kota Kembang

Untuk setakat malam ini, Kota Kembang berjaya menjerat aku dengan kata-kata indah yang terpacul dari mulut dinding-dinding jalanan. Pelik juga kenapa kota ini penuh dengan perbicaraan politik, sayangkan kepada negeri dan menggabungkan emosi dengan kota ciptaan manusia?

"Dan Bandung bagiku bukan masalah geografis, lebih jauh dari itu melibatkan perasaan, yang bersamaku ketika sunyi."

Mungkin aku harus kembali ke sini tetapi sendiri untuk mengerti makna yang tersirat.

Jumaat pagi tempoh hari adalah pagi yang paling sibuk kerana terburu-buru menaiki feri dari Stulang Laut, Johor menuju ke International Batam Center Ferry Terminal. Merentas tiga buah negara termasuk Kota Singa bukanlah sesuatu yang lazat kalau kau dalam keadaan letih. Sengaja aku pulang awal dari kantor demi menyambar tiket feri tepat jam 2 tengahari. Lagi pula, otak aku hampir tepu dengan urusan kerja dan memaksa aku untuk keluar dari lingkaran hal-hal kerjaan dengan kadar segera.

Sepanjang perjalanan dari Harbour Front ke Lapangan Terbang Changi, dengan menaiki MRT yang meluncur laju, sedikit sebanyak mengingatkan aku semula kepada kesibukkan Kota Singa. Fasanya pantas, orang-orang di sekeliling juga rata-rata mengalami halaju yang tinggi seakan pecutan hampir sifar. Aku sudah letih sebenarnya melihat fasa sebegini. Batu Ampar tidak sebegini. Lebih santai dan orang-orangnya lebih ramah. Sebab itu juga aku lebih memilih untuk bekerja di Kota Batam berbanding Kuala Lumpur mahupun Singapura.

Tiba di Bandar Udara Husein Sasteranegara dengan perasaan yang sugul. Aku tak banyak cakap kerana keletihan. Tidur yang tidak cukup. Mujur ada seorang sahabat yang sudi menjemput kebetulan dia lagi pulang ke rumahnya di Bandung untuk bercuti sebelum merangka perjalanan ke Jakarta esoknya untuk bertemu 'mata air'. Kami agak berhimpit di dalam mobil kerana backpack yang agak keterlaluan besarnya untuk perjalanan yang cuma 3 hari. Semuanya sudah bersedia untuk ruang kosong oleh-oleh. Melewati Jalan Braga di Bandung ini persis seperti melewati jalan-jalan di Pulau Pinang. Mungkin kerana bangunan Belanda yang masih teguh berdiri. Tembok-tembok putih dengan jendela yang besar. Ada sedikit lumut-lumut hijau dan pohon tumpang yang kecil di tepi tembok, menampakkan betapa klasiknya malam itu.

Sementara Esta mencari tempat untuk letak kereta, aku terus meluru ke Chez Bon Hostel untuk mendaftar masuk penginapan. Lokasi hostel ini sangat strategik berhadapan dengan Warung Makan Bebek Gersang dengan moto klisenya, 'Segar Merangsang'. Begitulah kata-katanya yang hip dan cukup mudah untuk mencari lokasi hostel ini sebagaimana aku merekomendasikan tempat ini.

Perjalanan esok adalah ke Ciwidey. Kami bakal menginap di sebuah kawasan perkebunan teh yang terletak di sebahagian tebing tinggi Kota Kembang ini.

Sambil terngiang-ngiang lagu Coldplay di telinga walau tanpa musik dalam keadaan nyatanya, aku meletakkan wajah di tepi jendela kereta. Dalam keadaan yang agak bersempitan di dalam kereta tetap membuatkan aku berasa tenang menikmati pemandangan sekeliling yang kami lewati. Waktu agak lewat, setelah menghadapi macet di jalan. Kata Gunawan dan Dikky selaku orang lokal, di sini memang begitu, malah waktu itu, kami agak beruntung tidak separah kebiasaannya. Hari mulai gelap dan kami melalui jalan tanah tinggi yang tidak berturap bagus dan sempit. Kiri dan kanan jalan dihiasi lampu neon perumahan kecil warga peladang seakan memasuki dunia yang lain. Jalan berlubang memaksa kami untuk turun dari kereta untuk memaksimakan sistem suspension kereta agak tidak mentok. Berjalanlah kami kecuali Dikky sebagai pemandu yang telah berjuang untuk memandu luar daripada kebiasaan.

Hampir 30 minit juga akhirnya kami sampai di 'Kondo Tuan Gunawan'. Beberapa buah banglo yang besar tetapi ringkas hiasan dalamannya bagai bercambah di sekeliling kawasan tanah berpersegi ini.





No comments: