Bacalah Kerepek Tempe untuk hidup dengan lebih bergizi. Terkandung khasiat cerita kehidupan yang rangup dan mudah dihadam.

Asap Rokok Bagaikan Awan Sirrus, Dari Seorang Lelaki Setengah Abad

Asap rokok yang ditiup angin bagaikan awan sirrus datang dari sepuntung rokok seorang lelaki berumur pertengahan abad. Semakin lama ia lesap dibawa zarah-zarah udara dengan pergerakkan Brown. Kedua-dua kakinya bersilang dan melunjur di atas bangku kayu menghadap beberapa longgokkan besi buruk dan tali sauh kapal. Pemandangan yang mungkin tidak begitu indah di kawasan ruli atau rumah liar sekitar Bukit Senyum, tetapi menceritakan pelbagai kisah yang menarik.

Pagi ini, sengaja aku lewat di sini setelah menghabiskan laluan joging sepanjang 20.5 km dari Batu Ampar ke Nagoya. Kebetulan 'Batam Car Free Day' mengosongkan hampir keseluruhan Jalan Raja Ali, sedikit sebanyak memacu tempoh masa larian.

Berbalik kepada lelaki setengah abad tadi yang sedang asyik berbaring di atas kerusi sandar yang hampir koyak anyamannya. Timbunan kayu di hadapan rumahnya itu bagai dirawat bagus siap dilitupi dengan kanvas agar tidak basah ditimpa hujan. Yang peliknya, bumbung rumahnya yang bocor tidak pula dialas kanvas. Ini membuktikan kayu-kayu itu lebih berharga dan siap terjual.

Aku tumpang berteduh. Hujan telah membasahi hampir seratus peratus tubuhku yang bercampur peluh. Aku berpeluk tubuh kerana terasa agak dingin menggigit tulang. Lelaki tadi masih lagi menyedut asap rokok tanpa menghiraukan kewujudan aku di situ. Matanya kelihatan betul-betul fokus kepada tiap titis hujan yang jatuh seakan mengira beberapa titis air yang membasahi bumi.

Bagi anak kecil, hujan adalah waktu yang pas untuk bermain. Tetapi bagi orang dewasa, hujan itu adalah bukan waktunya untuk bermain-main. Kalau hujan, maka susahlah untuk keluar menyambung kerja demi sesuap nasi. Kalau hujan, petir dan guruhnya itu seperti risiko kematian total pabila disambar. Kalau hujan, habis sampah dibawa arus terus ke longkang dan bakal mengakibatkan banjir.

Berat juga ya menjadi orang dewasa. Terlalu banyak kebarangkalian yang difikir dan diperkirakan. Bak kata Wings, "Usia perangkap kita, remaja kita tinggalkan". Adakah dewasa itu adalah perangkap?

Kesimpulannya, kita ada pilihan sama ada untuk bermain hujan atau duduk termangu melihat hujan sambil merosakkan peparu. Entah apa aku cakap tetapi pilihan ada pada kita.

No comments: