Bacalah Kerepek Tempe untuk hidup dengan lebih bergizi. Terkandung khasiat cerita kehidupan yang rangup dan mudah dihadam.

Sepanjang Larianku Tak Pernah Sunyi Daripada Bunyi Hon Ojek dan Angkot

Kelihatan beberapa gantungan baju, seluar serta pakaian dalam seakan langsir yang menutup jendela 'rumah liar' di sini. Sambil kaki kuat melangkah, aku sedikit tertunduk malu takut-takut disangka pshycopath. Berlari di pagi hari melewati Bukit Senyum untuk menuju ke daerah Nagoya merupakan pilihan terbaik kerana laluan utama hampir macet dipenuhi ribuan speda atau motosikal warga pekerja yang masuk kerja pada hari minggu. Ketika berlari di simpang Melcem, aku lewati dua orang makcik tua yang sudah pagi-pagi duduk di bangku plastik menunggu pelanggan. Kuih-muihnya cuma satu berharga seribu dan beberapa bungkus nasi kuning tersusun kemas di atas meja kayu yang kakinya sudah reput diganjal batu. Kalau batunya goyang sedikit, habis jualannya tersembam ke tanah.

"Pagi Bu'"

Cukuplah sekadar menyapa dan tersengih untuk mematikan perasaan janggal. Soalnya tidak ada orang lain yang berlari pagi di kawasan ini selain aku di dalam keramaian orang yang bagun pagi untuk mencari rezeki tambahan pada hari minggu. Kadang-kadang ada rasa bersalah juga.

Kerana percaya bahawa di luar sana ada banyak keajaiban, aku jadikan larian pagi ini bukanlah sebagai rutin tetapi sekadar mengisi ruang pagi hari Ahad. Sedikit sebanyak, ini mengingatkan aku zaman sekolah dulu-dulu ketika rajin menyertai larian jarak jauh secara suka-suka sahaja. 

Setibanya di selekoh tajam di Bukit Senyum, sebuah kereta Avanza berhenti di samping jalan secara tiba-tiba. Turun dua orang wanita daripada kereta dengan gelojoh sambil mengepit beg tangan meluru ke sebuah 'rumah kecil' dengan papan tanda 'Gereja Bukit Doa'. Mungkin mereka terlambat kerana make up agak berlebihan. Beberapa pemuda masih duduk di atas motor sambil merokok. Tergambar hal yang sama dengan beberapa jemaah surau yang duduk merokok sementara menunggu azan Isyak. Ketaksamaan linear. Menurut aku, masyarakat di sini sangat menghormati sesama sendiri tak kira bangsa, agama, etnik atau dialek bahasa malah mereka memahami kebutuhan beragama. Seperti yang aku bualkan dengan Bapak Satpam malam tadi, ini antara sebab mengapa aku tidak berasa janggal tinggal di sini kerana masyarakatnya.

"Sebelum memulakan pekerjaan, marilah kita membaca doa mengikut agama dan kepercayaan masing-masing."

Ini adalah ucapan yang tidak pernah kita dengar dalam majlis rasmi perasmian pembukaan bangunan kerajaan Malaysia, misalnya. Bagi aku, ucapan begini mengiktiraf kewujudan mereka yang berlainan agama berbanding ucapan biasa. Mungkin aku salah. Pendapat sahaja.

Seperti biasa, kalau melewati kawasan perumahan di sini pasti ada sampah yang bertaburan betul-betul di bawah papan tanda "Larangan membuang sampah". Hal yang sering membuatkan aku kesal tentang kesedaran untuk membuang sampah di tempatnya. Angin kencang dari kenderaan yang lewat di jalan membawa bersama bau busuk sampah tadi membuatkan aku sekali sekala menahan nafas agar tidak banyak terhidu. Mahu tutup hidung tetapi takut kelihatan tidak sopan apabila berlari di hadapan penduduk di situ sambil menutup hidung dengan tangan. Aku mengintai-intai pemandangan dari celah-celah rumah. Pemandangan luas kerana terletak betul-betul di lereng bukit. Sebagai manusia, aku tidak menyalahkan sebab mereka membina rumah di sini tanpa kebenaran pemerintah. Kau tahulah, bukan senang nak hidup.

Setelah berlari hampir 5 km, aku tiba di kawasan Nagoya dan lebih spesifik di sebuah kawasan yang mereka sebut 'Kampung Bule'. Deretan bar dan tempat hiburan sepi pada pagi begini, berlainan pula kalau malam menjelma. Kawasan ini heboh dipenuhi majoritinya orang putih atau bule. Kerana itu namanya Kampung Bule. Demi membasahi tekak yang agak kering, aku melangkah masuk ke dalam Circle-K Mart. Sejurus masuk, aku seakan disambut mesra dengan dentuman bunga api oleh kenalan lama ketika pernah duduk di sebelah Harmoni Hotel dulu. Al dan Ruben tersenyum lalu kami bersalaman. Sebagai tukang kasir, Al dan Ruben sangat mesra dengan pengunjung Circle-K Mart. Dua orang kenalan inilah yang sering membuat lelucon dan menjadi teman berbual aku dulu. Tidak sangka setelah beberapa tahun, mereka masih kenal dan betah bekerja di situ. Selain mereka berdua, abang kedai dobi di sebelah kedai ini juga selalu menjadi teman berbual setiap kali menghantar baju kotor. Kalau dulu, abang dobi selalu bercerita kisah perjalanan hidupnya berhijrah dari Yogjakarta, dan tidak punya cukup uang untuk sambung belajar. Begitulah, banyak yang dapat kita belajar daripada setiap orang yang kita kenal. Setiap orang, tidak kira apa jawatannya, memiliki fungsi dalam masyarakat. Tidak ada istilah Engineer lebih berfungsi daripada seorang tukang kebun sekolah dalam membangunkan negara, contohnya. Kalau ada yang sebut, suruh dia masuk kubur.

Seperti biasa juga, selalu ada ibu dan anak kecil yang berjualan koran di simpang empat. Melihat kesungguhan mereka menghampiri kenderaan yang berhenti saat lampu merah, apa lah nilai 5,000 Rupiah harga sekeping koran buat kita yang cukup makan ini. Tidak salah untuk kita beli walaupun tiada niat untuk membaca 100 peratus berita semasa.

Aku sambung berlari menuju ke arah Harbour Bay. Kali ini, Matahari cukup terik walaupun baru pukul 8:30 pagi waktu tempatan. Peluh berlari itu tidak sama dengan peluh kerana panas teriknya Matahari. Aku melabuhkan punggung di atas bangku halter berhadapan Rumah Lancang Kuning. Sesekali bunyi hon daripada angkot dan ojek kerana dikira aku mencari tunggangan. Kalau di sini, mereka bijak mencari peluang. Sejak dari tadi, larian ku tidak pernah sunyi daripada bunyi hon daripada tukang ojek dan angkot. Kerana tidak sampai hati, dan juga terlalu letih, aku pun menaiki angkot hijau menuju ke arah Batam Center.

Sejurus membuka pintu daun angkot dari arah belakang, sosok seorang wanita yang duduk bersama-sama sayur-mayur dalam bakul hampir menutupi kedua-dua kakinya. Mungkin dia baru pulang dari pasar. Tangan kanannya memegang telefon bimbit dan dahinya berkerut seperti ada yang membuatnya risau serta gundah.

Tidak sampai satu minit, wanita tadi menangis teresak-esak sambil telefon bimbitnya masih melekat di pipi sebelah kanan. Bermulalah pelbagai andaian di dalam benakku. Mungkin ada ahli keluarganya yang meninggal atau pacarnya membuat keputusan untuk putus hubungan. Kisah dalam sinetron nampaknya menjadi lebih nyata. Mujur saja aku tidak ada tisu untuk dihulur atau mengelap titisan air mata wanita tadi sambil terpasang lagu anak band Indonesia seperti dalam sinetron.

Akhirnya aku memutuskan untuk tidak berbuat apa-apa. Penumpang yang lain turut mengabaikan kewujudan wanita itu tetapi kadang-kadang mereka sibuk memasang telinga untuk mendengar apa yang dibicarakan dalam telefon. Masa begitu singkat juga untuk aku bertindak lalu aku bersuara.

"Kiri mas, kiri mas!" Aku pun turun daripada angkot dan meninggalkan keajaiban berlalu pergi.

No comments: