Bacalah Kerepek Tempe untuk hidup dengan lebih bergizi. Terkandung khasiat cerita kehidupan yang rangup dan mudah dihadam.

Gang Dapur Bergerak

Sebaik sahaja melangkah masuk pintu pagar besi, kehadiran kami disambut dengan kelunakan suara anak-anak kecil bersama taranum bacaan ayat suci Al-Quran seakan mengembalikan memori dulu ketika duduk bersila dan kaki hampir semut-semut untuk belajar mengaji di dalam ruang madrasah. Lidi sate disisipkan dalam surah terakhir yang dibaca pada hari itu, berfungsi sebagai penanda muka surat. Rihal Al-Quran daripada kayu menghasilkan bunyi hentaman apabila dilipat, dan seketika ianya mewujudkan seakan melodi perkusi. 

Kami melangkah masuk dalam lagi lantas bertemu seorang pemuda berjambang serta berbadan sedikit gempal yang sedang asyik menggoreng ayam. Tanpa perlu memperkenalkan diri dan bersalaman, dia lantas meminta tolong untuk membelikan dua botol Sunquick Tropikal, satu kotak air mineral berjenama khusus, empat bekas Nata De Coco, satu botol kordial sirap dan empat buah kantung ais. Oleh kerana suasana tiba-tiba bertukar menjadi seakan Amazing Race, kami bertiga bersama seorang relawan yang lain, bergegas ke kereta pemunggah miliknya.

Perkenalan yang cukup singkat.


Stering kereta pemunggah pacuan empat roda dipulas untuk memasuki sisi kiri sebuah gedung ais. Lori-lori putih penuh di dalam kotak parkir dan ada yang menyimpang sana-sini. Sekantung ais yang berbentuk silinder-silinder kecil digalas dan sempat merasa sejuknya Antartika di belakang tubuhku. Mujur pacuan empat roda ini, bagasi belakangnya cukup besar untuk memuatkan dua dozen air mineral, ais, dan segala bahan mentah yang diperlukan untuk menjamu kira-kira 40 orang anak-anak pelarian pada malam itu.


Aku sebenarnya lupa nama penggerak kepada gerakan ini kerana baru pertama kali mengikuti. Namun beliau cukup merendah diri. Hadi, selaku orang yang mengajak kami ke sini, menjelaskan dan bercerita tentang kehidupan mewah, bisnes yang memaksa beliau untuk berurusan dengan pelbagai bentuk situasi, sebelum beliau memulakan langkah untuk memacu gerakan Gang Dapur Bergerak. 

Beliau merasa hidupnya lebih tenang setelah mengambil keputusan untuk meninggalkan kejayanya yang sebelum ini, meninggalkan segala perusahannya yang bergelumang dengan perkara yang tidak jelas. Mungkin kita juga harus bertindak sekarang untuk sedaya upaya memaksimakan penglibatan dalam aktiviti sukarelawan kerana terlalu lama duduk empuk di atas bangku kantor.

Sesi makan malam menggunakan talam bermula. Aku mula memerhatikan sekeliling, melihat telatah anak-anak kecil yang begitu matang menjalani hidup tanpa ibu bapa. Setiap suapan nasi bersama lauk ke mulut, ada saja yang bermain di dalam fikiran. Pelbagai andaian apa yang akan berlaku setelah mereka semua merangkap dewasa. Selesai makan, Hadi membawa kami ke sebuah ruang kecil di sebuah sudut rumah lantai bawah. Sebuah almari bersama mural di dinding menempatkan beberapa buah buku bacaan buat anak-anak. Aku begitu kagum dengan usaha kelompok ini mewujudkan sudut bacaan santai selain seharian menghafal, membaca kitab suci Al-Quran. Tertarik untuk duduk membacakan buku, bercerita bersama-sama anak-anak ini jikalau berkesempatan nanti.

Malam semakin larut dan kami beransur pergi meninggalkan Maahad Tahfiz Al-Quran & Rumah Anak-anak Yatim Al-Sagaff sebelum berkenalan dengan sukarelawan-sukarelawan yang lain. 

Pertemuan yang cukup singkat tetapi bermakna. 

Kepada sesiapa yang ingin turut serta, boleh rujuk Facebook Gang Dapur Bergerak.

No comments: